Detik waktu

Tuesday, July 27, 2010

Perbankan Islam di Malaysia

Bentuk terawal aktiviti perbankan Islam diketahui bermula pada bulan September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH). PWSBH telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji).

Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pada tahun 1993, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan mula dibenarkan untuk menawarkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Walau bagaimanapun, institusi-institusi ini dikehendaki mengasingkan dana dan aktiviti urus niaga perbankan Islam daripada urus niaga perbankan konvensional bagi memastikan tiada percampuran dana.


Prinsip Syariah dalam


Perbankan Islam

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba (faedah).

Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam ialah:

§ perkongsian untung (Mudharabah)

§ simpanan (Wadiah)

§ usaha sama (Musyarakah)

§ kos tokok (Murabahah)

§ sewaan (Ijarah).

Mudharabah

Mudharabah (perkongsian untung) ialah pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperoleh akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

Wadiah

Wadiah atau simpanan adalah konsep perbankan Islam yang hampir sama dengan konsep akaun simpanan dalam perbankan konvensional. Dalam konsep Wadiah, bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana.

Seseorang pendeposit akan mendepositkan dana ke dalam bank dan bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan, atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin akan diberikan 'hibah' (hadiah), atas budi bicara bank, sebagai satu bentuk penghargaan kerana membenarkan penggunaan dana pendeposit oleh bank.

Musyarakah

Musyarakah atau usaha sama merupakan konsep perbankan Islam yang biasanya diguna pakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.

Murabahah

Murabahah atau kos tokok (bahasa Arab: مرابحه) ditakrifkan sebagai penjualan barangan, yang tidak melanggar syariah, pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua penjual dan pembeli. Antara syarat adalalah harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

Ijarah

Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Kontrak pertama ialah kontrak Ijarah (pemajakan/menyewa) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu kontrak Bai' (belian) dimeterai.

Sebagai contoh, di bawah kemudahan pembiayaan kereta, pelanggan akan memasuki kontrak pertama dan memajak kereta tersebut daripada pemilik (bank) pada kadar sewa yang telah dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan, kontrak kedua akan dikuatkuasakan bagi membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

Tuesday, July 20, 2010

MRSM FELDA DI TROLAK TERBESAR DAN TERMODEN - NAJIB

THURSDAY, JULY 8, 2010
Utusan Online | MRSM FELDA DI TROLAK TERBESAR DAN TERMODEN - NAJIB


TANJUNG MALIM 7 Julai - Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Kampus Tun Abdul Razak, di Trolak dekat sini merupakan MRSM termoden dan terbesar pernah dibina, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, institusi pendidikan pertama di tanah rancangan Felda itu bernilai RM123 juta dan ia jauh lebih mahal berbanding kos pembinaan MRSM lain iaitu sekitar RM80 juta.
"Sebanyak 80 peratus daripada pelajar di MRSMF ini merupakan anak peneroka dan tempat ini akan dijadikan pusat program pembelajaran 'International Baccalaureate' (IB) untuk membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. "IB merupakan peperiksaan peringkat global dan ia akan memberi peluang kepada anak-anak peneroka Felda menjadi pelaku global," katanya pada majlis perasmian MRSMF Kampus Tun Abdul Razak dekat sini hari ini. Pembinaan MRSMF yang merupakan maktab ke-37 Mara adalah atas cetusan minda Perdana Menteri sendiri. Ekoran saranan Najib itu, termeterai Perjanjian Kerjasama Antara Mara dan Felda pada 30 Mac 2007 dan MRSMF itu merupakan MRSM kelima dibina di Perak. MRSMF Kampus Tun Abdul Razak dibina di atas tanah seluas 25 hektar dan siap sepenuhnya pada 2009. Pengambilan pertama 200 pelajar perintis dibuat pada 2008 yang ditempatkan sementara di beberapa MRSM lain. Institusi pendidikan itu dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden bertaraf universiti termasuk dewan kuliah, dewan besar, dewan makan, makmal, blok kediaman pelajar, perpustakaan, mini stadium dan surau. Kewujudan MRSMF Kampus Tun Abdul Razak merupakan satu lagi mercu tanda kebanggaan lebih 1.6 juta warga Felda di seluruh negara.

USAH PERSOAL BIASISWA KHAS PELAJAR MELAYU

THURSDAY, JULY 1, 2010


PEMBERIAN biasiswa khas untuk pelajar Melayu melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Bagaimanapun, kriteria untuk seseorang pelajar mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diagihkan kepada pelajar berbilang kaum di negara ini perlu dikekalkan. “Peruntukan biasiswa untuk orang Melayu melalui agensi seperti MARA tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak, malah tidak ada sesiapa boleh bandingkan biasiswa JPA dan MARA kerana tindakan itu seolah-olah mempersoalkan Perlembagaan. “Pihak yang mempertikaikannya mungkin mempunyai agenda tersembunyi, malah tindakan ini seolah-olah mempertikai hak istimewa orang Melayu serta memperkecilkan Perlembagaan negara.

“Jika ada pelajar bukan Melayu tidak mendapat biasiswa JPA, jangan dijadikan asas menuduh kerajaan bertindak tidak adil, kerana pada masa sama, ada pelajar Melayu yang cemerlang juga tidak mendapat biasiswa berkenaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Dalam isu berasingan, Dr Puad berkata, beliau akan mengemukakan usul mengenai pembinaan jambatan kedua di Johor, seperti yang pernah dirancang kerajaan sebelum ini pada mesyuarat UMNO Bahagian Batu Pahat, yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MARA Hanya Taja Pelajar Ke Universiti Tersohor Luar Negara

THURSDAY, JUNE 3, 2010


IPOH, 3 Jun (Bernama) — Majlis Amanah Rakyat (Mara) mulai tahun depan akan hanya menawarkan tajaan kepada penuntut yang melanjutkan pengajian luar negara di universiti-universiti tersohor, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Mara akan memberi fokus tajaan kepada pelajar yang dapat tempat di universiti tersohor dan mempunyai reputasi baik seperti Cambridge, Harvard, Oxford, London School of Economics, Imperial College dan Monash University di Australia,” katanya.

Beliau berkata tajaan kepada penuntut yang melanjutkan pengajian di luar negara untuk pengajian ijazah pertama dan peringkat sarjana itu juga akan tertakluk kepada bidang tertentu yang kritikal seperti perubatan, patalogi dan bius.

Bercakap pada sidang akhbar selepas melawat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak di sini hari ini, beliau berkata dasar baru yang telah dipersetujui kerajaan itu akan membolehkan Mara mengutamakan tajaan untuk penuntut di universiti tempatan.

Mohd Shafie berkata pelaksanaan dasar baru itu akan membolehkan Mara memberi keutamaan menaja penuntut cemerlang di universiti tempatan dan sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan agensi berkenaan.

“Banyak universiti tempatan mempunyai kualiti dan kemudahan pembelajaran yang setanding dengan universiti-universiti luar negara,” katanya.

*****

Saya kira ini adalah satu berita baik untuk pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di dalam negara pada masa depan. Untuk tahun ini sahaja, dapat diperhatikan persaingan untuk mendapatkan tajaan semakin meningkat.

Tambahan pula, tajaan untuk pengajian di luar negara jauh lebih mahal berbanding pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, sedangkan kualiti pengajian di IPT tidak kurang hebatnya.

Diharap, dengan dasar baru dalam penajaan dan pembiayaan pendidikan MARA ini akan membuka lebih banyak peluang kepada bakal penuntut di IPT pada masa depan. Buat masa ini, hanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA sahaja yang mampu menaja pelajar dalam jumlah yang ramai.