Detik waktu

Tuesday, July 20, 2010

MARA Hanya Taja Pelajar Ke Universiti Tersohor Luar Negara

THURSDAY, JUNE 3, 2010


IPOH, 3 Jun (Bernama) — Majlis Amanah Rakyat (Mara) mulai tahun depan akan hanya menawarkan tajaan kepada penuntut yang melanjutkan pengajian luar negara di universiti-universiti tersohor, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Mara akan memberi fokus tajaan kepada pelajar yang dapat tempat di universiti tersohor dan mempunyai reputasi baik seperti Cambridge, Harvard, Oxford, London School of Economics, Imperial College dan Monash University di Australia,” katanya.

Beliau berkata tajaan kepada penuntut yang melanjutkan pengajian di luar negara untuk pengajian ijazah pertama dan peringkat sarjana itu juga akan tertakluk kepada bidang tertentu yang kritikal seperti perubatan, patalogi dan bius.

Bercakap pada sidang akhbar selepas melawat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak di sini hari ini, beliau berkata dasar baru yang telah dipersetujui kerajaan itu akan membolehkan Mara mengutamakan tajaan untuk penuntut di universiti tempatan.

Mohd Shafie berkata pelaksanaan dasar baru itu akan membolehkan Mara memberi keutamaan menaja penuntut cemerlang di universiti tempatan dan sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan agensi berkenaan.

“Banyak universiti tempatan mempunyai kualiti dan kemudahan pembelajaran yang setanding dengan universiti-universiti luar negara,” katanya.

*****

Saya kira ini adalah satu berita baik untuk pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di dalam negara pada masa depan. Untuk tahun ini sahaja, dapat diperhatikan persaingan untuk mendapatkan tajaan semakin meningkat.

Tambahan pula, tajaan untuk pengajian di luar negara jauh lebih mahal berbanding pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, sedangkan kualiti pengajian di IPT tidak kurang hebatnya.

Diharap, dengan dasar baru dalam penajaan dan pembiayaan pendidikan MARA ini akan membuka lebih banyak peluang kepada bakal penuntut di IPT pada masa depan. Buat masa ini, hanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA sahaja yang mampu menaja pelajar dalam jumlah yang ramai.

No comments:

Post a Comment