Detik waktu

Tuesday, July 27, 2010

Perbankan Islam di Malaysia

Bentuk terawal aktiviti perbankan Islam diketahui bermula pada bulan September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH). PWSBH telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji).

Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pada tahun 1993, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan mula dibenarkan untuk menawarkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Walau bagaimanapun, institusi-institusi ini dikehendaki mengasingkan dana dan aktiviti urus niaga perbankan Islam daripada urus niaga perbankan konvensional bagi memastikan tiada percampuran dana.


Prinsip Syariah dalam


Perbankan Islam

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba (faedah).

Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam ialah:

§ perkongsian untung (Mudharabah)

§ simpanan (Wadiah)

§ usaha sama (Musyarakah)

§ kos tokok (Murabahah)

§ sewaan (Ijarah).

Mudharabah

Mudharabah (perkongsian untung) ialah pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperoleh akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

Wadiah

Wadiah atau simpanan adalah konsep perbankan Islam yang hampir sama dengan konsep akaun simpanan dalam perbankan konvensional. Dalam konsep Wadiah, bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana.

Seseorang pendeposit akan mendepositkan dana ke dalam bank dan bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan, atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin akan diberikan 'hibah' (hadiah), atas budi bicara bank, sebagai satu bentuk penghargaan kerana membenarkan penggunaan dana pendeposit oleh bank.

Musyarakah

Musyarakah atau usaha sama merupakan konsep perbankan Islam yang biasanya diguna pakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.

Murabahah

Murabahah atau kos tokok (bahasa Arab: مرابحه) ditakrifkan sebagai penjualan barangan, yang tidak melanggar syariah, pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua penjual dan pembeli. Antara syarat adalalah harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

Ijarah

Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Kontrak pertama ialah kontrak Ijarah (pemajakan/menyewa) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu kontrak Bai' (belian) dimeterai.

Sebagai contoh, di bawah kemudahan pembiayaan kereta, pelanggan akan memasuki kontrak pertama dan memajak kereta tersebut daripada pemilik (bank) pada kadar sewa yang telah dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan, kontrak kedua akan dikuatkuasakan bagi membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

No comments:

Post a Comment